Thursday, October 28, 2010

KISAH SAYIDINA ALI DENGAN 6 DIRHAM

KISAH SAYIDINA ALI DENGAN 6 DIRHAM
SEBAIK pulang dari rumah Nabi Muhammad s.a.w., Ali bin Abu Talib menemui
isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: “Wahai wanita mulia,
adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?”

Fatimah menjawab: “Demi Allah, saya tidak mempunyai makanan sedikit pun.
Tetapi ini ada 6 dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah
memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain.”

Ali berkata: “Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan.”

Fatimah segera menyerahkan 6 dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi
bagi membeli makanan.

Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: “Siapa yang mahu
memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati
janji?”

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak 6 dirham
kepada lelaki itu. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang
melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis.

Ali pun bertanya: “Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?”

“Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa,” kata Fatimah.

Ali menjawab: “Aku meminjamkan wang itu kepada Allah.”

Mendengar jawapan itu, Fatimah berkata: “Sekiranya begitu, saya menyokong
tindakanmu.”

Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi Muhammad
s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta
menghampirinya, dan berkata: “Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini.”

Ali berkata: “Saya tidak mempunyai wang.”

“Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa,” kata Badwi itu.

“Berapa harganya?” tanya Ali, menunjukkan minat.

“Tidak mahal, 100 dirham sahaja,” jawab Badwi itu.
“Baiklah, saya beli,” kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya
menuntun unta.
Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan
bertanya: “Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?”

“Ya,” jawab Ali.
“Berapa?” Tanya Badwi itu.
“300 dirham,” jawab Ali.

“Baiklah saya beli,” kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham
kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada
Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: “Apa yang kamu bawa itu wahai
Abu Hassan?”

“Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 100 dirham, kemudian
saya menjualnya dengan harga RM300 dirham,” jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. di masjid. Melihat Ali
sampai di masjid, Nabi s.a.w. tersenyum dan berkata: “Wahai Abu Hassan,
adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?”

“Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah,” kata Ali.

“Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi
yang membeli unta daripada kamu tadi?”

Ali menggeleng: “Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.”

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan: “Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam
dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap
satu dirham mendapat ganti 50 dirham.

“Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang
kedua adalah malaikat Mikail.”

*Maksud al-Baqarah, ayat 261: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan
hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh
menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus
biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya ….”*