Sabda Rasulullah: “Apabila suatu dosa dilakukan di muka bumi, maka orang yang menyaksikan (dosa) dan membencinya seperti orang yang tidak menyaksikannya. Sedangkan orang yang tidak menyaksikan namun meredhainya (maka seolah-olah dia) seperti orang yang menyaksikannya (dosa tersebut). (HR Abu Dawud dari Aris Bin Umairah r.a.)
Orang mukmin dianjur supaya apabila mendengar atau menyaksikan ada orang melakukan sesuatu dosa maka dia perlu merasa benci dan tidak redha kepada dosa tersebut.
Perkara yang harus dilakukan apabila mendengar atau menyaksikan sesuatu kesalahan atau dosa:
i. Membetulkan kesalahan dan mengubah kemungkaran semaksima yang termampu.
Rasulullah bersabda: “Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu maka hendaklah ia mengubahnya dengan lisan. Jika tidak mampu, maka hendaklah dengan hati, dan ini adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)
Hadis ini menunjukkan peringkat amal yang harus dilakukan apabila melihat kesalahan dan kemungkaran iaitu:
a. mengubah kemungkaran dengan tangan
Mengubah kemungkaran dengan tangan bukan bermaksud menggunakan pedang atau senjata tetapi mengubah sumber atau punca berlakunya kemungkaran tersebut. Contohnya menumpahkan atau memecahkan botol minuman keras yang sedang diminum oleh peminum arak.
Jika takut keselamatan diri dan keluarga jika mencegah kemungkaran dengan tangan maka hendaklah mengubah dengan lisan.
b. Mengubah kemungkaran dengan lisan
Mengubah kemungkaran dengan lisan perlu dilakukan dengan hikmah dan cara yang lembut.
Ada seorang sahabat yang banyak minum arak di kota Syam. Lalu apabila mendengar berita ini Saidina Umar menulis surat kepadanya dengan memetik ayat daripada Surah Al Mukmin ayat 1- 3 yang bermaksud:
1. Haa Miim. 2. Diturunkan Kitab Ini (Al Quran) dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha mengetahui, 3. Yang mengampuni dosa dan menerima Taubat lagi keras hukuman-Nya. yang mempunyai karunia. tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nyalah kembali (semua makhluk).
Apabila membaca surat tadi sahabat berkenaan terus meninggalkan minuman keras dan bertaubat kepada Allah.
c. Mengubah kemungkaran dengan hati
Mengubah kemungkaran dengan hati tidak hanya terhenti setakat diam dan membenci dalam hati sahaja tetapi perlu berdoa kepada Allah supaya Allah menghilangkan kemungkaran dan memberi petunjuk kepada pelaku kemungkaran berkenaan sepertimana doa Rasulullah ketika dianiayai.
“Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (HR Ahmad)
Termasuk mencegah kemungkaran dengan hati ialah dengan meninggalkan majlis yang terdapat maksiat berlaku di dalamnya. Firman Allah dalam Surah an Nisa’ ayat 140 yang bermaksud:
"Dan sungguh Allah Telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), Maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam ",
Contoh: Apabila mendengar ayat Allah dipersendakan maka kita perlu meninggalkan majlis berkenaan.
Memulau pelaku maksiat atau dosa termasuk dalam mencegah kemungkaran dengan hati.
Rasulullah memulau 3 orang sahabat yang tidak ikut dalam perang Tabuk sepeti mana firman Allah dalam ayat 118 Surah At Taubah yang bermaksud:
"Dan terhadap tiga orang [yaitu Ka'ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Mararah bin Rabi'. mereka disalahkan Karena tidak ikut berperang] yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi Telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun Telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka Telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima Taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."
ii. Menjadikan kesalahan orang lain sebagai alat untuk meneropong ke dalam diri sendiri dan melakukan muhasabah (menilai diri sendiri)
Rasulullah bersabda: “Orang yang bahagia adalah orang yang dapat mengambil pelajaran dari (kesalahan) orang lain.”
Keupayaan untuk menjadikan kesalahan orang lain sebagai alat untuk melihat ke dalam diri sendiri dan melakukan muhasabah akan dapat
a. mengetahui faktor orang lain melakukan kesalahan supaya kita dapat mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang sama.
b. Mengetahui cara untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan
c. Menghasilkan motivasi dalam diri dan rasa ‘izzah (mulia) imaniyah dan kemuliaan jiwa yang mendorong untuk menjauhkan diri daripada kesalahan orang yang menjerumuskan mereka ke dalam kehinaan di dunia dan akhirat. (Perlu rasa izzah iman atau mulia dengan jiwa kita yang tidak melakukan dosa)
d. Meningkatkan kuantiti dan kualiti iman yang akan menghakis segala bisikan kotor dan hati yang mengajak kepada kesalahan dan dosa. (Meningkatkan iman dan menjauhi daripada mengikut bisikan-bisikan yang mengajak melakukan sesuatu yang tidak syarak)
iii. Tidak menyebarkan berita gosip di tengah masyarakat
Kita tiidak boleh menyebarkan berita gossip yang kita tahu orang lain telah lakukan kerana Allah mengecam orang yang menyebarkan berita buruk sepertimana yang dinyatakan dalam Surah An Nur ayat 19 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak Mengetahui”.
Kita tidak boleh menyebarkan berita tentang kemaksiatan kerana:
a. Menyebarkan berita keburukan orang akan memburukkan lagi hati orang yang melakukannya dan rasa malas untuk bertaubat. Kalau bertaubat pun akan menanggung bebanan mental yang berat kerana orang akan tetap mengingati kesalahan yang lalu dan menaruh curiga terhadapnya dan tidak begitu percaya dengan taubat yang telah dilakukan.
b. Keburukan yang dilakukan oleh ikon, tokoh atau public figuredalam masyarakat jika disebarkan akan menyebabkan iannya menjadi ikutan kepada orang lain.
c. Menyebarkan berita keburukan orang lain akan menjerumuskan penyebarnya ke dalam kebinasaan disebabkan rasa sombong dan rasa diri lebih baik daripada orang lain serta tidak terdorong untuk bertaubat. Kemungkinan orang yang melakukan maksiat tadi telah bertaubat dan menyesali perbuatannya dan dosanya telah diampun oleh Allah. Akibatnya tanpa kita sedari pahala yang kita ada dipindahkan kepada orang berkenaan disebabkan tindakan kita menyebarkan keburukannya.
iv. Tidak boleh membenci atau memperlekehkan pelakunya (peribadi) melainkan benci kepada perangai atau perlakuan buruk sahaja.
“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Ia tidak boleh menzaliminya, menghinanya dan melecehkannya.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 11yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diolok-olokkan) lebih baik dari wanita-wanita (yang mengolok-olokkan).
Sikap membenci dan memandang hina perbuatan maksiat, bukan kepada pelakunya akan menghasilkan kesan yang positif seperti berikut:-
a. menghindarkan kita dari bencana
Ibnu Mas’ud berkata: “Bencana itu seringkali disebabkan perkataan. Seandainya aku menghina seekor anjing, nescaya ku takut apabila aku diubah oleh Allah menjadi seekor anjing,”
Amr bin Syarahbil berkata: “Seandainya aku melihat seseorang menyusu seekor kambing, lalu aku tertawa kerana kelakuannya, nescaya aku takut apabila suatu saat nanti aku akan melakukan seperti yang telah dilakukannya.”
b. Sikap tidak membenci pelaku akan melahirkan perasaan belas kepada pelaku maksiat dan tidak rasa benci untuk berdakwah bagi menyelamatkan manusia daripada azab Allah.
c. Sikap tidak membenci kepada pelaku maksiat akan dapat menjaga hubungan baik apabila mereka telah bertaubat dan meninggalkan kemaksiatan berkenaan. Ini berbeza apabila kita membenci pelakunya akan menyulitkan kita untuk mencintainya setelah dia bertaubat dan menjadi orang yang baik.
d. Kita perlu sedar bahawa kita pun ada potensi yang sama besar dengan pelaku dosa yang kita hinakan. Cuma Allah dengan rahmatNya telah memimpin kita supaya tidak melakukan dosa dan dijauhkan diri dari perbuatan maksiat.